337,882 permohonan baharu BR1M diterima



KUALA LUMPUR 19 Dis. – Kerajaan melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah menerima sebanyak 337,882 permohonan baharu untuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2016 sehingga semalam.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Johari Abdul Ghani berkata, dalam masa yang sama, 1.92 juta penerima BR1M sedia ada sudah mengemas kini maklumat mereka.

Katanya, semua pemohon digalakkan membuat pendaftaran atau kemas kini maklumat dengan segera sebelum tarikh akhir permohonan pada 31 Disember ini.

“Proses permohonan dan kemas kini maklumat BR1M 2016 sudah bermula sejak 5 Disember lalu dan sedang giat dijalankan.

“Pemohon boleh membuat pendaftaran melalui kaedah manual iaitu dengan mengisi borang BR1M 2016 yang boleh didapati secara percuma di mana-mana cawangan LHDN di seluruh negara atau memuat turun borang secara atas talian di laman web https://ebr1m.hasil.gov.my atau www.treasury.gov.my,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Du-it! yang memperkenalkan set mesin berteknologi tinggi untuk menghasilkan produk-produk makanan francais seperti sate dan martabak di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini, hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi MAEPS Management Sdn. Bhd., Datuk Dr. Mohamad Satim Diman dan Ketua Pengarah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Datuk Dr. Sharif Haron.

Sementara itu, Johari berkata, walaupun kerajaan memberi BR1M untuk mengurangkan sara hidup masyarakat, beliau berharap lebih ramai pemohon akan menceburi bidang keusahawanan industri kecil dan sederhana (IKS).
“Saya lihat keusahawanan merupakan satu bidang yang boleh membantu rakyat menjana pendapatan lebih tinggi menerusi pelbagai jenis produk termasuk makanan dan kraf tangan.

“Namun, harus diingatkan apabila sudah menjadi usahawan, janganlah terlalu ghairah untuk beralih kepada perniagaan lain semata-mata untuk kaut keuntungan lebih, sebaliknya fokus pada kepakaran utama sehingga mencapai keuntungan maksimum,” ujarnya.

Sumber: Utusan Online

Sign up here with your email address to receive updates from this blog in your inbox.

0 Response to "337,882 permohonan baharu BR1M diterima"

Post a Comment